Tuesday, August 09, 2011

Pesanan Hati..

  Pertama

Aku mula menyedari Allah telah menetapkan suatu keadaan yang perlu aku tempuhi berbeza berbanding manusia yang lain. Jalannya penuh mujahadah, menjauhi segala macam kebiasaan menjadi kerenah dan sukar untuk menjadi kisah.

Nyatanya, hakikat jiwa dan jasad itu adalah ilham dari-Nya. Hayati dan fahamilah ia secara hati rohani dan cahaya Ilahi yang dikurniakan. Terselit keinginan dan harapanku pada kehidupan dan menjauhi kerosakan. Semoga segalanya berada pada keredhaan Allah s.w.t.


Kedua

Aku tidak berani kata ya atau tidak. Mungkin diri lebih mengetahui. Perkara itu adalah hati. Hati rohani yang wujud dalam diri. Ia mungkin terlalu kecil dan nilainya hanya sekelumit, tetapi benar-benar kukuh dan solid berpadu buat taat, takut dan harap kepada Allah. Hati itu yang sentiasa meletakkan segala harapan, pujian, membesarkan, dan mendoakan, yang sentiasa didengari dan dilihat oleh Dia yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui isi hati hamba-hamba-Nya.

Sekiranya disedari, peliharalah ia. Ia terlalu bernilai hatta diletakkan seluruh harga dunia serta seisinya. Ia tidak lagi senang ditemui ketika ini. Semakin sangat jarang dan janggal dilihat di akhir zaman ini. Kenapa dikhabarkan? Wallua’lam. Tetapi, apa yang pasti padaku ia sungguh bernilai dan ia punca penghubung kepada Allah s.w.t.

Walaupun mungkin kewujudannya hanya sebesar zarah,  genggamlah ia dengan seutuhnya. Jangan dijinakkan dengan harga murah dunia, disongsangkan oleh keinginan, kepuasan, mahupun pujuk rayu nafsu dan manusia.


Ketiga

Ujian kepada orang yang teguh iman dan soleh dalam amalan antara ujian yang paling berat pernah Allah s.w.t timpakan kepada manusia. Namun, seberat manapun ujian khusus dari-Nya, tidak melangkau sama sekali keupayaan dan kekuatan yang hamba-Nya ada.

Percayalah, ujian dari-Nya yang amat sulit adalah ujian kesenangan. Dia akan membuka pintu ujian kesenangan dengan membuat pelbagai pilihan. Sekiranya ujian kesenangan yang menimpa, serulah hati rohani mengharap dan takut kepada Ilahi.

Kemudian, kuncilah hati itu benar-benar kepada Allah. Kuncilah ia dengan nama-nama Allah. Harapkanlah pertolongan dan bantuan yang Maha Memberi Pertolongan.

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.”   (al-Anbiya’: ayat 35)


Keempat

BELAJARLAH DARI HATI. Ilmu boleh disimpan, dihafal, dan diketahui melalui bahan ilmiah dan tersemat dalam kepala. Tetapi, pelajaran yang diterima daripada hati adalah tarbiyah dan bimbingan khusus dari Allah s.w.t. Ia hadir dan jalan penghubung kepada kehidupan abadi milik Allah s.w.t.

Hinakanlah sifat-sifat yang tercela yang wujud dalam diri manusia. Ketahuilah, sekiranya sentiasa berbangga dengan keadaan suka menghina dan mencela, bukan itu yang mengajar manusia untuk tunduk patuh kepada Allah Azza wa Jalla. Sekiranya ada hati yang wujud ego tidak bertempat dan sombong, ketahuilah tiada manusia yang akan terlepas dari seksaan-Nya yang maha azab dan pedih di akhirat kelak.

Sekiranya teguh dengan petunjuk Allah, putarkanlah hati dari melihat keagungan dan keunggulan dunia. Biar sahaja cantik di depan mata, tetapi tiada langsung sekelumit wajah dalam jiwa.

Benarkanlah hati rohani untuk berkata-kata. Jangan diseru nafsu dan emosi yang membawa kecelakaan sahaja. Kerana hati rohani tidak akan dekat dengan jiwa yang gersang untuk kecelakaan nafsu dan kebanggan buat manusia .Ungkaplah kalimah sabar dan tabah yang sebenar-benarnya. Hadirkan hati rasa takut walau untuk melakukan satu dosa yang rata-rata manusia pandang kecil untuk melakukannya.


No comments:

Post a Comment