Tuesday, August 09, 2011

Halawatul Iman

Kemanisan Iman...

Manusia adalah semulia-mulia makhluk Tuhan di bumi ini. Semulia-mulia yang ada di dalam tubuh manusia adalah hatinya dan semulia-mulia yang ada dalam hatinya adalah keimanannya. Maka iman merupakan anugerah Allah yang paling berharga dan nikmat terbesar yang patut disyukuri.

Keimanan dan ketaqwaan sahaja menjadi tempat penilaian Allah yang sebenarnya. Lantas, iman wajib dipelihara kerana iman manusia boleh bertambah dan berkurang.

Setiap individu hendaklah sentiasa berdoa dan menjaga imannya supaya tetap di atas jalan yang benar. Walaupun hidayah itu anugerah Allah kepada seseorang, namun Allah juga memberikan akal kepada kita untuk membuat pilihan dan berusaha mencari cahaya iman. Iman dan pengisian kerohanian merupakan sumber kekuatan terpenting bagi setiap individu.



Gambar solat jemaah di Union Square, San Francisco, USA, dari Yaznotjaz @ Flickr.com

 

Kemanisan iman adalah rasa senang hati juga kegembiraan ketika menunaikan ibadah, serta kesanggupan menanggung segala kesukaran demi keredhaan Allah serta RasulNya. Orang yang mendapat kemanisan iman senantiasa mengutamakan Allah dan RasulNya dari yang selainnya.

Kemanisan iman dapat dinikmati jika seseorang memiliki ciri-ciri tersebut:

    * cintanya kepada Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya
    * mengasihi sesama manusia kerana Allah semata-mata
    * membenci kekufuran seperti dia membenci jika dia dicampakkan ke dalam Neraka

Batas-Batas Iman

Seseorang dianggap keluar daripada iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau keyakinan yang membatalkan Kalimah Syahadah. Batas-batas utama yang menjadikan terbatalnya iman seseorang adalah apabila dia mengingkari atau mencela Allah atau sebarang Sifat-SifatNya atau mengingkari atau mencela Rasulullah, kerasulannya atau apa yang dibawanya dalam rupa hukum syariat. Dari itu, iman seseorang boleh terbatal dengan berlakunya salah satu antara berikut:


+ menentang hikmat syariat
+ menghukum dengan yang lain selain dari hukum Allah
+ mempersendakan seorang Muslim kerana Islamnya
+ memusuhi seorang Muslim kerana berpegang teguh kepada Islam
+ bekerjasama dan menolong musuh Islam
+ merelakan berleluasanya kemungkaran

Langkah-langkah untuk kembali kepada iman setelah terkeluar daripadanya:

   1. bertaubat
   2. mengadakan pembaikan
   3. menerangkan kebenaran
   4. berpegang teguh kepada Islam
   5. mengikhlaskan diri kerana Allah

Orang Beriman Kekasih Allah

Allah menguji hamba-hambaNya dengan berbagai bentuk ujian untuk menilai keimanan mereka sama ada mereka bersyukur atau kufur. Orang beriman seringkali diuji Allah untuk menambahkan keimanannya serta mengangkat darjat dan menghapuskan dosa. Semakin tinggi dan mantap keimanan seseorang, semakin banyak pula ujian yang dikenakan terhadapnya.

Berbekalkan iman yang kukuh, seseorang itu senantiasa bersyukur kepada Allah dan menggunakan nikmat yang dianugerahkan sebaik mungkin, baik dalam waktu senang mahupun susah. Orang beriman sentiasa beristiqamah, iaitu tetap dalam ketaqwaan, menjalankan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Orang yang beriman dan memiliki kekuatan iman yang tinggi sanggup berjihad melawan musuh dan nafsunya. Keimanan yang mantap dan jitu memberi keyakinan, ketenangan jiwa serta ketenteraman.

No comments:

Post a Comment